Sunday, February 14, 2010

Ar- Rumaisa' ..

Rumaisa' yang aku kenali, namanya tidak segah Saidatina Khadijah, Saidatina Aisyah, mahupun Fatimah Az-Zahrah. Namun, tokoh yang seorang inilah yang sering aku jadikan sebagai inspirasi.


Kisahnya terkenal sehingga ke umat hari ini. Namun, kebanyakannya kurang mengetahui, bahawa watak utama yang diceritakan adalah merupakan peribadi yang sama.


Dialah Ar-Rumaisa' binti Milhan, juga dikenali sebagai Ummu Sulaym.


Dia antara wanita Ansar pertama yang menerima Islam hasil dakwah yang disampaikan oleh Mus'ab bin Umair di Madinah, dan turut terlibat dalam Perjanjian Aqabah II. Malang sekali, keislamannya mengundang marah suami yang tercinta, Malik bin Nadhir. Keimanannya sama sekali bukan ikut ikutan, tapi berlandaskan kesedaran dan kefahaman. Lantas dia ditinggalkan suaminya bersama anaknya, Anas bin Malik, dan ditakdirkan pula suaminya mati dibunuh musuhnya.


Tidakkah rawan hati sang isteri, tatkala suami yang disayangi mati dalam keadaan kufur?


Namun, Ummu Sulaym punya hati yang tegar. Diasuh dan dibesarkan anaknya, Anas bin Malik sebaik mungkin. Sungguh, bukan calang-calang ibu semurni Ummu Sulaym. Anak kesayangannya diserahkan kepada Rasulullah, untuk berkhidmat sepenuh masa kepada baginda, dan kepada Islam. Anas dididik supaya menjaga rahsia Rasulullah, bahkan kepada ibunya sendiri. Nah, hasilnya terkesan sehingga ke hari ini, bilamana umat hari ini menerima beratus-ratus hadis Rasulullah SAW, yang diriwayatkan oleh Anas bin Malik. Masakan Anas mampu sehebat begitu, jika tidak kerana pengorbanan sang ibu?


Ummu Sulaym yang terkenal dengan peribadinya yang terpuji, mengundang pinangan daripada Abu Talhah, yang di waktu itu masih lagi kufur. Pinangan Abu Talhah, sukar ditolak. Masakan tidak, Abu Talhah adalah dari golongan bangsawan dan hartawan yang kacak, yang menjadi kegilaan sekalian wanita. Namun bukan itu yang menjadi neraca pertimbangan bagi Ummu Sulaym. Pinangan Abu Talhah dikenakan syarat, dan hanya akan diterima, apabila keislaman Abu Talhah menjadi mahar perkahwinan mereka. Subhanallah, mana lagi wanita di atas muka bumi ini empunya mahar 'termahal' seumpama Ummu Sulaym? Emas, perak dan harta, sama sekali tidak menjadi ukuran !


Bahtera perkahwinan mereka juga diuji Tuhan, tatkala zuriat tercinta jatuh sakit dan meninggal dunia, ketika Abu Talhah keluar berperang. Sekembalinya suaminya ke rumah, dilayaninya sebaik mungkin. Ummu Sulaym mendandan dirinya lebih cantik dari biasa, wangian dipakai, dan ditunaikan tanggungjawab sebagai sang isteri. Sehingga di akhir malam, barulah Ummu Sulaym bersuara,


" Wahai Abu Talhah, bagaimana pendapatmu seandainya ada suatu kaum meminjamkan barang kepada satu keluarga kemudian satu ketika mereka mengambil semula barang tersebut,maka bolehkah bagi keluarga tersebut tidak mengizinkan?"


"Tentu saja tidak boleh." jawab Abu Talhah.


Ummu Sulaym berkata, " Sesungguhnya anakmu adalah pinjaman dari Allah, dan Allah telah mengambilnya kembali. Maka tabahkanlah hatimu dengan pemergian anakmu"


Amarah dan kesedihan Abu Talhah tidak terbendung. Keesokannya Rasulullah dicari dan diceritakan apa yang berlaku. Rasulullah bersabda, "Semoga Allah memberi barakah kepada malam kalian berdua." Dan dengan berkat doa itulah, Ummu Sulaym mengandung dan dikurniakan anak yang diberi nama Abdullah oleh Rasulullah.


Seorang sahabat meriwayatkan , "Aku melihat Abdullah mempunyai 7 orang anak, yang kesemua hafiz Al-Quran."


Ummu Sulaym, yang juga tinggi semangat jihadnya, turut sama menyertai Perang Uhud dan Ahzab. Bahkan tatkala beliau sarat mengandung, disisipnya pisau, yang diniatkan untuk membunuh musuh dan umat islam yang lari dari medan jihad !


Tuhan, bagaimana aku mampu menjadi sehebat wanita ini..?


Rumaisa' , peribadimu sungguh mulia. Seorang ibu yang mithali, juga isteri yang romantik dan tenang. Wanita yang begitu mengenal Rabbnya, dan memahami tanggungjawab sebagai muslimah sejati, yang berkorban apa saja demi agama. Rumaisa' , bukan calang-calang wanita, bahkan cemerlang di dalam sirahnya. Ah, andai peribadimu aku dan seluruh muslimah yang lain teladani, betapa rumahtangga kami adalah syurga, yang berpayungkan di bawah rahmatNya !


Andai..


Andai di zaman ini masih wujud lagi wanita solehah umpama Khadijah R.A, wanita secerdas Aisyah R.A, seorang wanita bersifat perwira seperti Nusaibah binti Kaab, seorang syahidah yang teguh imannya seteguh Sumayyah, dan juga daie berfikiran tajam dan berani, seumpama Ummu Sulaym..


Andai masih ada figur-figur sehebat mereka di akhir zaman ini, mungkinkah Islam kan tertegak kembali, dengan lahirnya pejuang-pejuang Islam dari rahim wanita-wanita seperti ini?


Ya Rabb, betapa aku ingin menjadi seperti mereka..


2 comments:

sab said...

Semoga kita semua dapat menjadi seperti Ar rumaisa'

hazilla_khairul said...

insyaAllah sab..:)